Hasil arahan Prem dan diterbitkan oleh Filmscape Sdn. Bhd., SUPERMAK mengisahkan tentang seorang ibu dan surirumah sepenuh masa, Amy Salim (Nasha Aziz) yang mempunyai kekuatan dan kelajuan seorang adiwira. Keistimewaan dan kuasa ini diwarisi dari keturunannya, iaitu dari nenek moyang Amy yang berasal dari kepulauan Riau. Lima suku dari kepulauan tersebut di terajui oleh moyangnya yang bernama Thani.
Menurut sejarah dan latar belakang keturunannya, Thani telah menyelamatkan hidup seekor burung mitos yang dipanggil garuda. Kisah bermula apabila burung garuda itu terkena panah, lalu cedera dan terus rebah ke tanah. Lebih merumitkan, panah itu dibuat dari sejenis kayu yang sukar di cari.
Setelah diselamatkan oleh Thani, burung garuda tersebut berubah rupa menjadi seorang wanita jelita. Demi membalas jasa, wanita tersebut menganugerahkan lima kuasa sakti yang berlainan kepada Thani dan empat suku yang lain. Wanita itu turut menghadiahkan sebuah pingat yang unik kepada Thani yang boleh digunakan untuk menyeru semula burung garuda mitos yang sangat berkuasa dan mampu menakluk dunia.
Bergelar SuperMak, Amy Salim mewarisi kekuatan dan kepantasan yang mengagumkan, dan beliau merupakan salah seorang dari generasi keturunan Thani. Kini beliau telah dewasa dan mendirikan rumahtangga. Suaminya, Rees (Azhan Rani) merupakan seorang anggota polis dan mereka dikurniakan dua orang cahayamata iaitu Ayesha (Nelly) dan Amril (Haider Harris). Mereka bersama-sama menjalani kehidupan sebagai sebuah keluarga penyayang, ceria dan penuh komitmen antara satu sama lain.
Namun, langit tidak selamanya cerah, kemunculan Bashar (Zul Yahya), musuh tradisi dari salah satu suku keturunan Thani di Riau tiba-tiba muncul untuk menggugat ketenteraman awam termasuklah keluarga Amy. Akibat sikap tamak dan dahagakan kuasa, Bashar berjaya menguasai seluruh Kuala Lumpur dan beberapa kumpulan gangster besar untuk mengikut telunjuk perintahnya. Bashar ditakuti ramai kerana mempunyai kuasa api yang sangat kuat dan hebat.
Seorang lagi pewaris, Camelia (Zara Zya) yang mempunyai kuasa ais yang menakjubkan juga tunduk kepada kekuatan Bashar. Menurut kisah silam, moyang Bashar telah mencuri pingat unik tersebut dari Thani, dan pingat itu terpecah kepada lima bahagian. Oleh itu, Bashar dan Camelia perlu bergabung untuk memerangi Amy demi mendapatkan satu daripada pecahan pingat unik yang dijaga rapi olehnya.
Selain daripada mereka bertiga, Khalil (Syawal) yang mempunyai kekuatan telekenetik dan Ghazi (Henzy Andalas) yang berupaya untuk menjadi halimunan juga berasal dari keturunan yang sama. Namun, watak mereka berbeza, gemar berjenaka dan suka mengusik Amy.
Pertarungan sengit yang membezakan baik dan jahat di antara mereka berlima bakal meletus demi mempertahankan pingat unik dan keamanan sejagat dari jatuh dan musnah di dunia kecelakaan. Lebih menarik, Bashar juga mengetahui kelemahan utama SuperMak, dan cabaran akan menjadi semakin getir dengan kehadiran seorang lelaki hebat disisi Amy, juga sebagai penjaga pingat keramat tersebut.
Apakah sebenarnya kelemahan SuperMak, dan siapakah lelaki misteri itu? Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan aksi lincah Nasha Aziz dan pelakon-pelakon hebat yang lain di dalam SUPERMAK, di slot Aksi, sebanyak 13 episod, bermula pada 25 Julai 2011, setiap hari Isnin, jam 9.00 malam, hanya di TV3.
Melly Amalin sebagai Ayesha |
pandai betul penulis ni best sangat la baca ni...
ReplyDeletehmmm...thanx...
ReplyDelete