Thursday, May 1, 2014

Ketika Ajal Menjemput Dia





Suatu kisah yang telah mengajar aku tentang hidup ini penuh dengan kejutan..ajal datang adakalanya tanpa diduga...

30 April 2007
Malam itu, sedang aku baru hendak lena aku dikejutkan dengan panggilan telefon...ibu saudara kubangun dan menjawab panggilan tersebut...kesunyian malam membuatkan nada bicaranya dapat aku dengari walaupun butir bicara tidak jelas namun kutahu ada sesuatu telah berlaku.  Tidak lama kemudian selepas ganggang telefon diletak ibu saudara datang ke bilikku.  Katanya sepupu lelakiku kemalangan dengan motor maghrib tadi sekarang sedang dirawat di ICU Hospital Bsr K.Trg.  

Terdetik dihatiku 'nasib baik bukan aku yang nak mati'...detak hati aku ini masih aku ingat walaupun peristiwa ini telah berlaku 7 thn yang lalu.  Kenapa ada kata2 itu yang tluncur dari hatiku?kerana ketika itu, aku sedang jatuh sakit.  Seminggu terlantar di rumah.  Tidak dapat bergerak.  Makan dan minum asyik muntah.  Yang dapat diminum air 100plus.  Itulah air yang tidak dimuntahkan oleh perutku ketika itu.  Rasa sakit membuatkan aku terfikir ajalku mungkin sudah tiba.  Aku terus mengiring ke sebelah kanan.  Aku sedar, ibu saudaraku sedang menyampaikan berita tersebut kepada ibubapaku di rumah mereka.  Aku terfikir tentang punca kemalangan.  Mungkinkah wan berlumba motor?sebab seringkali anak muda di sini melakukan aksi rempit ketika lewat senja.  Namun hatiku menyangkal.  Kerana wan bukan remaja begitu.  

Tidak lama kemudian, aku terlena.  Namun, pukul 1 pagi aku terjaga kerana terdengar bualan antara ibuku dan ibu saudaraku.  Aku menjenguk ke luar tingkap.  Naluri ingin tahuku membuatkan aku gagahkan diri dan pergi ke rumah ibubapaku.  Menurut ibuku, ayahku telah ke hospital dan melawat wan.  Keadaan wan sangat teruk.  Ayah yang melihatnya pun menangis.  Muka wan bengkak.  Bagaikan tiada rupanya lagi.  Matanya hampir terkeluar dan doktor menutupnya dengan sebaik mungkin.  Pehanya patah.  Darah keluar daripada hidung dan telinganya tiada berhenti.

Kata doktor disebabkan wan remaja lelaki jadi semangat dia untuk hidup itu kuat, jika orang tua pasti telah meninggal.  Dan kerana itu, doktor menganggarkan hayat wan sehingga subuh ini sahaja.  Ibu ada berkata, baru-baru ini dia ada bermimpi sesuatu...namun kerana kelewatan malam dia tidak manghabiskan ceritanya itu.

Malam itu, aku tidur dengan ibuku.  Sempat kami berbual.  Jika keadaan begini, rasa tidak lena untuk tidur.  Ajal yang hampir tiba.  Aku berdoa dan berharap agar keajaiban berlaku subuh itu.  Sangat-sangat berharap.  

Pukul 7 pagi, aku bangun dan perlahan-lahan aku mandi dan bersiap-siap. Kata ibu, kena bersiap awal-awal takut-takut ada berita yang tidak elok pagi itu.  Emosi orang yang tak sihat macam aku ni lain sikit.  Aku terfikir wan yang bertarung nyawa untuk hidup tiba-tiba aku yang meninggal sebab terjatuh tangga, maklumlah...tak larat nak jalan masa tu...hehhhe

Aku bersiap-siap.  Itulah kali pertama aku melihat wajah sakitku di hadapan cermin.  Cengkung.  Berbeza dengan sebelum sakit.  Diluar rumah, saudara terdekat datang bertanya keadaan wan.  Tidak lama selepas itu, ayah mendapat panggilan.

Ya..akhirnya wan pergi menghadap ilahi pada pukul 7 pagi lebih 1 mei 2007.

Aku dan keluarga bersiap-siap untuk ke rumah mak long, ibu arwah wan.  Disebabkan arwah meninggal di hospital jadi proses untuk membawa balik jenazah sedikit mengambil masa.  Pukul 9 pagi, aku dan keluarga sampai di rumah mak long.  Ketika itu, jenazah baru sampai dari hospital.

Dapat kulihat sudah ramai orang yang berkumpul di kawasan rumah mak long.  Aku terpandang salah seorang abang arwah, duduk jauh daripada yang lain.  Matanya merah.  Menangis.  Di dalam rumah, ramai juga yang menitiskan airmata.  

Aku duduk di penjuru kaki jenazah.  Aku termenung.  Memerhati keadaan sekeliling.  Ramai yang menangis.  Di sisi arwah ada seorang gadis sebaya dengan arwah, putih, cantik orangnya. Dia menangis teresak-esak sambil membacakan yasin untuk arwah.  Aku dan saudara-mara menganggap mungkin gadis itu rapat dengan arwah.

Tidak lama kemudian, jenazah diangkat untuk dimandikan.  Dapat kulihat raut wajah yang redha dengan pemergian anak bongsu yang masih tinggal bersama-samanya kini telah pergi untuk selama-lamanya.  

Selesai segala urusan, jenazah disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Hiliran, betul-betul di hadapan rumahnya.  Aku sekadar menyorok di dapur.  Takut dengan proses tersebut.  Takut menjadi bayangan.  Takut kerana aku banyak meninggalkan solat 5 waktu!!

Ketika itulah aku terfikir dan mula mengerti bahawa hidup ini suatu yang penuh kejutan dan rahsia.  Arwah masih muda.  2 tahun berbeza umur dengan aku.  Waktu itu arwah berusia 19tahun.  Arwah meninggal kerana kecederaan yang teruk akibat kemalangan.  Arwah bekerja di kedai hyperuncit Sabasun K.Trg. 

Pagi hari kejadian, arwah bangun lambat daripada biasa sehingga dia tergesa-gesa bersiap untuk ke tempat kerja.  Pada hari kejadian, arwah seperti biasa minum tengah hari di kedai bersebelah Sabasun.  Tuan kedai tersebut bercerita bahawa hari itu, arwah minta air milo seperti biasa.  Arwah seolah-olah termenung dan berkata rasa hendak pergi jauh.  Rakan sekerja mengajaknya keluar malam nanti selepas kerja tetapi dia menjawab bahawa dia rasa nak balik tidur tak nak bangun-bangun.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, ada sebuah kereta yang dipandu perlahan dan sebuah motosikal lagi datang dan cuba mengelak lubang jalan.  Ketika itulah motorsikal tersebut berlanggar dengan arwah. Penunggang motorsikal itu hanya cedera ringan.  Hilang ibu jari kaki.  Menurut cerita ayah remaja lelaki tersebut, anaknya jarang keluar pada waktu maghrib tetapi petang itu anaknya keluar dan terjadilah kemalangan itu.

Ramai kenalan arwah yang pengsan beberapa kali ketika menziarahi jenazah.  Mereka adalah lelaki.  Melihat keadaan itu, dapat kurasakan bahawa arwah seorang rakan yang baik sehingga kematiannya ditangisi rakan-rakan.  Kata rakannya arwah disenangi kerana pandai bergurau. Gurauannya tidak menyakitkan hati orang.  Beberapa hari sebelum arwah kemalangan, arwah kerap kali datang ke rumahku.  Berjumpa dan berbual dengan arwah nenek.  Tidak seperti biasa arwah hanya akan datang ke rumahku bersama-sama mak long dan pak long tetapi akhir-akhir ini acap kali arwah datang.  Hampir setiap petang.  Kadangkala datang bersama-sama kakaknya Nor.  

Pertemuan terakhir ketika arwah dan Nor datang ke rumah, mak sempat bergurau nak jodohkan aku dengan arwah.  Arwah hanya tersenyum.  Pernah ibu saudaraku bertanya bila nak balik sebab dah lewat petang, kata arwah dia tak nak balik, nak tidur di sini.  Mungkin inilah petanda-petanda arwah akan pergi untuk selama-lamanya.  Dan mungkin juga arwah kerap datang melawat nenek kerana nenek adalah saudara terdekat yang mengikutinya 10 bulan berikutnya.

Pemergian arwah amat memberi kesan kepada mak long. Hingga sekarang mak long masih dalam keadaan terkejut dengan pemergian anak kesayangannya secara tiba-tiba.  Hingga kini mak long masih kurang sihat.  Semakin susut badannya.

Pemergian arwah juga cukup memberi makna dalam hidupku.  Makna menjadi seorang hamba yang patuh dengan ajaran agama-Nya.  Supaya bersedia untuk mengadapnya bila-bila masa.

Pemergian arwah membuatkan aku sedar bahawa kita tidak tahu bilakah ajal kita, di manakah ajal menjemput kita, bagaimanakah ajal menjemput kita, sedarkah bahawa suatu saat tiada lagi nafas untuk kita hela?tiada lagi setitis air dari seluruh muka bumi ini untuk kita?tiada lagi secebis makanan dari seluruh muka bumi ini untuk kita? sedarkah semua itu? dan apabila saat semua rezeki yang telah ditetapkan untuk kita itu telah habis adakah kita bersedia untuk ke alam sana? Ajal datang tanpa mengenal usia!

Persoalan-persoalan inilah yang mendewasakan aku.  Yang mengajar aku untuk menjadi hamba yang lebih baik.  Bermula daripada kisah inilah aku solat 5 waktu sehari...Alhamdulillah...Aku belajar daripada apa yang telah berlaku untuk jadi lebih baik.  

Dari sinilah aku belajar untuk lebih menghargai setiap masa yang ada...tidak lagi aku berharap masih ada masa dan waktu untuk aku lakukan sesuatu atau memperbetulkan sesuatu jika hari ini aku mampu untuk terus lakukannya kerana aku tidak tahu bila nafas yang terakhir..jika sayang katakan sayang..jika telah memaafkan katakan..jika lakukan kesilapan tidak perlu esok untuk meminta maaf...jika berhutang tidak perlu kaya baru nak bayar hutang..jika berhasrat tentang sesuatu lafazkan kerana selagi mulut mampu berkata-kata..selagi tangan masih berdaya menghulur..selagi kaki masih gagah melangkah..selagi badan sihat dan kuat...selagi masa masih milik kita..tidak perlu ditangguhkan sesuatu itu... bukan rezeki yang perlu dipergunakan tetapi kesedaran diri untuk sedar bahawa jika suatu saat kita kehilangan seseorang yang kita sayang...kita takkan mampu untuk milikinya lagi...kita takkan mampu menyatakan kita sayang dia lagi..sanggupkah kita meninggalkan orang yang kita sayang dengan persoalan?sanggupkah kita biarkan seseorang menanti kita dan terus menanti kerana kita sentiasa berfikiran 'tak apa..ada rezeki ada la' 'tak apa esok sahaja selesaikan' 'tak apa esok baru jumpa minta maaf' 'tak apa balik nanti beritahu sayang dia' andaikan nafas terakhir kita sebelum segala yg tertangguh itu dapat diselesaikan..bagaimanakah?

Bukan tidak percaya ketentuan Allah...cuma berusahalah selagi ada masa dan waktu...walau bukan untuk diri sendri tetapi ingatlah dalam hidup kita ada orang lain yang perlukan kita...

Berita kemalangan ini terpapar di dada akhbar keesokan harinya dengan tajuk '12jam bertarung nyawa'

Al-Fatihah buat arwah Wan...Semoga ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman...