Hadith Rasulullah SAW telah jelas menerangkan kepada kita bahawa malaikat itu diciptakan daripada ‘nur’ iaitu cahaya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : Ertinya “Malaikat itu diciptakan daripada nur, jin diciptakan daripada nyala api dan Adam diciptakan daripada apa yang telah disifatkan kepadamu.
Ikrimah berkata : “ Malaikat itu diciptakan daripada ‘nurul izzah .’ Yazid bin Rahman pula berkata “Telah sampai khabar kepadaku bahawa malaikat itu diciptakan daripada ‘Ruhullah’. Allah telah menciptakan malaikat itu sebelum Dia menciptakan manusia. Tegasnya, malaikat diciptakan lebih dahulu daripada manusia. Hal ini dapat dilihat di dalam AL-Quran bahawa Allah SWT telah memberitahu kepada para malaikat bahawa Allah akan menjadikan khalifah di muka bumi iaitu manusia.
Bilangan malaikat itu sangat ramai. Dan disebutkan bahawa yang mengetahui jumlah malaikat yang sebenar hanyalah Allah sendiri. Beberapa Hadith Rasulullah dan athar menerangkan bahawa ramainya malaikat itu melebihi jumlah manusia Rasulullah SAW telah bersabda : Ertinya “Tidak ada tempat satu kaki pun di langit , melainkan terdapat malaikat yang sedang sujud atau berdiri di situ.”
Suatu hari Rasulullah SAW sedang berada di masjidnya tiba-tiba baginda bersabda : “Apakah engkau mendengar apa yang kami dengar?” Para sahabat bertanya : “Apa yang sedang anda dengar wahai Rasulullah?” Rasulullah SAW menjawab : “Langit berbunyi dan benar padanya ada suara. Tidak ada tempat satu kaki pun di langit melainkan terdapat malaikat yang sedang berdiri , rukuk atau bersujud di situ.”
Apakah malaikat akan mati?
Jawabnya ; ya ,malaikat akan mati dan makhluk-makhluk yang lain juga akan mati. Hal ini akan terjadi apabila sangkakala telah ditiup. Iaitu pada tiupan kedua yang pada waktu itu akan mati semua makhluk yang hidup di langit dan di bumi kecuali yang dikehendaki oleh Allah sebagaimana yang telah diterangkan dalam hadith tentang sangkakala. Kemudian Allah akan mencabut roh-roh makhluk yang masih hidup itu sehinggalah yang paling akhir sekali menemui kematian adalah malaikat maut. Maka tinggallan sendiri Zat Yang Maha Hidup dan Maha Kekal iaitu Allah. Pada saat itulah Allah akan berfirman:
“Untuk siapalah kerajaan pada hari ini?” Kemudian Dia menjawab sendiri pertanyaan-Nya itu. “untuk Allah Yang Maha Satu yang Maha Perkasa.”
Semua makhluk itu terdiri daripada lelaki dan perempuan sebagaimana yang disebutkan dalam AL-Quran, kecualli malaikat saja yang tidak termasuk dalam ayat tersebut. Malaikat tidak lelaki dan tidak perempuan. Mereka hanya disebutkan oleh Allah sebagai ‘ibadurrahman’ atau hamba-hamba Allah yang Maha Pemurah.
Selamat, M. I. (1999). Himpunan Kisah-Kisah Malaikat. Kuala Lumpur: Darul Nu'man.