Thursday, February 9, 2012

Dengarlah kata hati

Dengar cakap orang atau tidak?

Pada zaman dahulu di dalam sebuah kampung ada seorang lelaki yang tinggal bersama dengan anaknya.  Lelaki itu bekerja sebagai seorang pencari kayu api.  Pada setiap hari dia dan anaknya dengan ditemani oleh seekor keldai akan memasuki hutan bagi mencari kayu api untuk dijual.

Anaknya itu pula mempunyai sikap yang tidak baik iaitu apabila dia disuruh melakukan sesuatu perkara, pasti dia akan mencari pelbagai alasan untuk menolak perintah ayahnya itu.  Dia malu kepada orang yang selalu mengejeknya sebagai seorang pencari kayu api yang dianggap hina.  Disebabkan itu, dia kerap kali tidak mahu mengikuti ayahnya apabila diajak bersama mencari kayu. 

Ayahnya pula sangat dukacita dengan sikap anaknya itu yang suka mendengar kata-kata orang berbanding dirinya sendiri.  Lelaki itu pun cuba untuk menyedarkan anaknya. 

Suatu hari, seperti biasa dia mengajak anaknya mencari kayu api.  Anak itu dengan berat hati terpaksa juga menuruti kehendak ayahnya.  Bersama keldainya, mereka lalu berjalan hinggalah sampai ke satu tempat di mana kelihatannya sekumpulan wanita yang sedang bersembang.  Sebaik sahaja tiba di situ salah seorang daripada mereka berkata :

“Apalah bodohnya mereka itu, ada keldai tetapi tidak digunakan untuk tunggangan.”
Mendengar kata-kata itu dia lalu berkata kepada anaknya:

“Hmm, baiklah engkau naik sahaja keldai ini, biar ayah yang berjalan di hadapan.”
Setelah itu, mereka berjumpa pula dengan sebuah warung yang terdapat di dalamnya beberapa orang lelaki tua yang sedang makan dan minum.

Lalu salah seorang daripada mereka berkata :
“Sungguh kurang sopan anak itu, adakah patut ayahnya yang sudah tua disuruhnya  berjalan sedangkan dia yang masih muda dan kuat sedap-sedap sahaja berada di belakang keldai.”

Mendengarkan kata-kata lelaki itu ayahnya lalu berkata :
“Hmm... baiklah anakku, biar ayah pula yang naik dan kamu pula yang berjalan.”
Dipertengahan jalan mereka bertemu pula dengan sekumpulan anak muda yang sedang bermain-main di sebuah padang.  Salah seorang daripada mereka berkata:

“Sungguh tidak patut lelaki itu, adakah patut dia seorang sahaja yang naik di belakang keldainya sedangkan anaknya pula disuruh berjalan.”
Apabila mendengar kata-kata pemuda tersebut, lelaki tersebut lalu berkata kepada anaknya :

“Marilah anakku kita sama-sama menunggang keldai ini.”
Lalu mereka berdua sama-sama menunggang keldai tersebut hinggalah berjumpa pula dengan seorang petani yang sedang mencangkul tanah di kebunnya.
Dia lalu berkata :

“Sungguh tidak patut kamu berdua kerana menzalimi binatang, adakah patut kamu berdua menaiki keldai yang kecil itu.  Tidakkah kamu berdua kasihan terhadapnya?”

Akhirnya lelaki tersebut mencadangkan mereka berdua memikul sahaja keldai tersebut.  Dia lalu mencari sebatang kayu kecil dan di pancangkan di celah kaki keldai yang sudah diikat.  Selepas itu, ayahnya berkata kepada anaknya :

“Wahai anakku, selepas ini jika apapun kata orang, kita mesti meneruskan perjalanan kita.  Nah ambil kapas ini dan sumbatkan ke telingamu supaya kita tidak lagi mendengar sebarang kritikan dari sesiapapun.”

Kedua-dua beranak itu lalu memikul keldai itu hinggalah berjumpa dengan orang kampung yang tertawa melihat gelagat mereka.  Namun, mereka berdua tetap memikul keldai tersebut tanpa mempedulikan apa jua kata orang ramai hinggalah sampai di tempat yang dituju.

Apabila sampai di tempat yang dituju kedua-dua mereka pun melepaskan ikatan keldai tersebut lalu terduduk kepenatan.  Lelaki itupun berkata kepada anaknya:

“Itulah akibatnya anakku jika kita suka sangat menurut kata orang.  Engkau sendiri lihat tadi apa sahaja yang kita lakukan semuanya salah.  Ayah harap selepas ini ubahlah sikapmu, janganlah suka mendengar cakap orang, akibatnya kita juga yang keletihan.”

Anak itu memahami bahawa ayahnya sengaja untuk mendidiknya supaya tidak mendengar cakap orang sahaja.  Apa yang kita lakukan semestinya atas kehendak kita sendiri.  Sekiranya apa yang kita lakukan itu perkara yang membawa kebaikan hendaklah kita teruskan walaupun apa jua yang diperkatakan orang.

No comments:

Post a Comment