Tuesday, February 8, 2011

Bahagian tubuh menolak kehadiran Malaikat Maut

“Apabila Allah ingin mencabut roh seorang mukmin” Kata Nabi mengawali nasihatnya kepada orang-orang beriman, “Sesekali, Malaikat Maut akan datang dari sisi mulutnya. Kemudian zikir akan membangkang. Katanya “Tidak wahai malaikat maut. Jangan engkau cabut nyawa ini dari tempatku kerana lisannyalah zikir kepada Tuhanku dilafazkan.”

Malaikat maut kembali kepada Allah dan mengeluh “Ya Allah, lisan si Polan tidak mengizinkanku untuk mencabut nyawa tuannya.”

“Kalau begitu, cabutlah nyawanya dari tempat lain,”Perintah Allah lagi.

Malaikat maut kemudian ingin datang dari arah tangannya. Tetapi tangannya membangkang. Katanya “Tidak wahai malaikat maut. Jangan engkau cabut nyawa ini dari tempatku kerana dengan tangan ini tuanku ini selalu bersedekah, beramal jariah, sering mengurusi anak-anak yatim dan mengusap-usap kepala mereka. Dengan tangan ini tuanku menulis ilmu pengetahuan atau mengayunkan pedangnya di jalan Allah.

Malaikat maut kemudian ingin mencabut dari arah kakinya. Namun kakinya juga membangkang. Katanya “Tidak wahai malaikat maut. Jangan engkau cabut nyawa ini dari tempatku kerana dengan kaki inilah dia biasa pergi ke masjid untuk solat berjemaah, menghadiri majlis-majlis ilmu dan amal-amal baik yang lainnya.”

Malaikat maut mencuba lagi untuk lalu dari arah telinganya. Telinga juga membangkang. Katanya “Tidak wahai malaikat maut. Kerana dengan telinga ini dia biasa mendengar ayat-ayat suci Al-Quran, kalimat-kalimat zikir dan kata-kata yang bermanfaat.”

Malaikat mencuba lagi dari arah matanya. Mata pun membangkang. Katanya “Tidak wahai malaikat maut. Kerana dengan mata ini dia biasa melihat Kitab Al-Quran, memanfaatkannya untuk membaca buku-buku ilmu pengetahuan dan menyaksikan kebesaran-kebesaran Allah.” Setelah berupaya dari segala arah, ternyata malaikat maut tidak berhasil mencabut nyawa seorang mukmin. Dia kembali kepada Allah dan menyampaikan keluhannya. “Ya Rabbi, seluruh anggota tubuhnya mempunyai alasan untuk menolakku. Lalu bagaimana seharusnya aku mengambil nyawanya?”

Allah S.W.T kemudian berfirman : “Wahai malaikatku! Tuliskan nama-Ku di atas telapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh si mukmin. Seketika itu juga dia akan rindu dengan apa yang dilihatnya dan dengan rela meninggalkan jasadnya.”

Dalam Al-Quran surah Yaa Siin ayat 65 Allah S.W.T bercerita tentang keadaan hari kiamat yang pada waktu itu setiap anggota tubuh akan menyaksikan segala sesuatu yang dilakukan oleh tuannya; perbuatn baik ataupun perbuatan buruk. Allah S.W.T berfirman :

“Hari ini kami tutup mulut-mulut mereka , tangan-tangan mereka berbicara kepada kami, dan kaki mereka bersaksi atas apa yang mereka lakukan.” (Yaa Siin :65)

Itu akan terjadi pada hari kiamat. Tetapi tidak mustahil seperti yang dinyatakan oleh hadith di atas bahawa menjelang maut sekalipun seluruh anggota tubuh manusia akan menyaksikan apa yang dilakukan oleh tuannya. Apabila sepanjang hayatnya dia hidup dengan penuh amal soleh maka berbahagialah apa yang akan disaksikan oleh anggota tubuhnya. Dia akan menjumpai Allah dengan penuh rela dan bahagia. Ibnu Arabi menyebutnya dengan istilah al-rujuk al-ikhtiyari, kembali kepada Allah secara suka rela dan penuh kesedaran. Al-Quran menggambarkannya sebagai manusia-manusia yang dipanggil oleh Allah untuk pulang ke pengkuan-Nya.

“Wahai jiwa-jiwa yang damai, kembalilah kepada tuhanmu dengan penuh redha dan diredhai maka masuklah dalam golongan-golongan hamba-Ku dan mesuklah ke dalam syurga-Ku” (Al-Fajr:29-30)

No comments:

Post a Comment