Sunday, October 16, 2011

::SIAPA ITU QARIN?::

kebaikan atau keburukan..kita yang tentukan...
Tidak ramai orang yang mengetahui tentang “Qarin” ini. Sebenarnya begitulah kehendak Allah s.w.t bahawa manusia yang dilahirkan sehinggalah ia meninggal dunia mempunyai satu jin kafir yang menjadi teman ke mana sahaja ia pergi tidak kira siang mahupun malam, mengajaknya mengerjakan kejahatan dan menahanya daripada melakukan ketaatan. Oleh kerana ia terlalu rapat dengan manusia ia digelar Qarin.


Sabda Rasulullah s.a.w. daripada Abdullah Ma’sud r.a. : Maksudnya : “Setiap kamu ada Qarin daripada bangsa jin, dan juga Qarin daripada bangsa malaikat. “ Mereka bertanya, ‘ Engkau juga ya Rasulullah. ‘ Sabdanya : ”Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat kuislamkan dan hanya menyuruh aku hal kebaikan sahaja.” (Riwayat Ahmad dan Muslim)


kederhakaan kita kepada Allah...kitalah
yang bertanggungjawab...bukan syaitan

Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping manusia. Boleh dikatakan ia sebagai “kembar” manusia. Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini pasti ada qarinnya sendiri. Rasulullah s.a.w. sendiri tidak terkecuali. Cuma bezanya, qarin Rasulullah adalah Muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir.

Pada umumnya qarin yang kafir ini kerjanya mendorong dampingannya membuat kejahatan. Dia membisikkan was-was, melalaikan solat, berat nak baca al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja sekuat tenaga untuk menghalang dampingannya membuat ibadah dan kebaikan. Untuk mengimbangi usaha qarin ini Allah utus malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat. Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh qarinnya lemah tidak berdaya. Caranya dengan membaca “Bismillah” sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyak berzikir, membaca al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah. Qarin akan berpisah dengan “kembar” nya hanya apabila manusia meninggal dunia. Roh manusia akan di tempatkan di alam barzakh sedangkan qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang. Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan manusia.





Syaitan itu musuh yang nyata bagi manusia...

(Petikan dari buku, Jin : Hakikat dan Pengubatan, Dato' Hj. Ismail Kamus)

Friday, October 14, 2011

Yang bererti



~Istimewa untuk adiQ~


YANG BERERTI


Tiada pernah kujangka
Tiada pernah kuduga
Tiada pernah kuminta
Punyai dirimu dalam hidupku
Membawa erti memberi rasa
Tentang sayang yang setulusnya

Padamu kulihat ada sesuatu
Yang menarik hati kecilku
Meronta dan mendesak aku
Untuk mendekati mengenalimu

Sungguh saat ini
Tika berteman denganmu
Terasa indah detiknya
Bagai ingin hentikan waktu
Agar terus bersamamu
Kau ceria penyeri hariku

Sungguh bersamamu itu bahagia
Nakalmu membuat aku ketawa
Senyummu membuat aku tenang
Adiwarna hariku keranamu
Kau perawat dukaku
Kau penghibur sepiku
Kau peneman rasaku
Kau bagiku begitu bererti

Dan adakala
Datangnya amarah hadirnya rajuk
Hingga gurauan tiada bermakna
Sunyinya hati sepinya rasa
Tika tiada suara riangmu
Jangan membatu jangan membisu
Resah aku engkau begitu


Sungguh kau bererti
Terlalu bermakna
Dalam hidupku dalam hatiku
Dan jangan kau pergi
Dari hidupku dari hatiku
Kerana itu memberi aku luka
Memberi aku derita

Biarkan sayang ini terus bersemi
Terus mekar dihati ini
Diriku dirimu hati kita bersatu
Dengan apa yang kita miliki
Ketulusan dan keikhlasan
Coretan cerita lalu
Kisah hati bicara kalbu
Menyatukan dua jiwa
Menjadi satu


~Janji bukan untuk dimungkiri~


CREATED BY
ADIKLA

Tuesday, October 11, 2011

Antara Kasih, Sayang dan Cinta


Tiga perkataan yang nampak seakan sama untuk diterjemahkan, namun jika diteliti membawa kepada pengertian yang sangat berbeza. Pengertian tiga perkataan ini memberikan makna yang sangat mendalam untuk difahami. Emosi dan tindakan juga sebenarnya menggambarkan bahawa kasih, sayang dan cinta mempunyai perbezaan walaupun sedikit.

Kasih..





Kita sering mengucapkan kalimah basmalah yang membawa maksud “Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”.  Allah SWT sebenarnya sangat mengasihi kita sebagai hamba-Nya.  Dan jika kita halusi mengapa Allah SWT mengasihi manusia sudah tentu hanya kerana Allah SWT mempunyai belas kasihan terhadap hamba-Nya. Rasa kasih sebenarnya terselit rasa belas kasihan terhadap seseorang.  Begitu juga Allah SWT mengasihi kita selayaknya kerana kita lemah dan perlu dikasihani.

Dalam hubungan sesama manusia,  kasih kadang-kadang menjadi titik bermulanya rasa sayang dan seterusnya rasa cinta. Dari kasihan akan terbit rasa sayang yang begitu kuat. Sebab itu dalam Bahasa Melayu perkataan kasih selalunya digabungkan sekali dengan perkataan sayang.  Jadi tidak hairanlah mengapa Rasulullah sendiri berkahwin dengan isteri-isterinya yang banyak kekurangan.  Rasa belas kasihan kerana tidak mampu melihat kesusahan wanita-wanita yang kehilangan suami kerana syahid telah mengangkat baginda untuk menyayangi dan mencintai mereka sebagai isteri.

Sayang..


Perkataan yang sukar untuk dibezakan dan diterjemahkan terutama dalam hubungan perasaan sesama manusia. Menyayangi seseorang belum tentu mencapai tahap mencintai kerana menyayangi lebih luas skopnya berbanding mengasihi. Anda mungkin menyayangi sahabat anda, keluarga anda, guru anda atau sesiapa sahaja. Tetapi berbeza jika anda mengatakan bahawa anda menyayangi isteri anda. Kerana rasa sayang kepada isteri sebagai teman hidup memberikan maksud anda mencintai pasangan anda sedalam-dalamnya.

Namun fahamilah, sebenarnya rasa sayang sudah memadai untuk anda melihat pengorbanan yang bakal dilakukan oleh orang yang menyayangi anda. Pengorbanan yang mungkin dilakukan luar dari kebiasaan emosi manusia. Rasa sayang akan memberikan kesan yang berpanjangan sama ada anda sebagai orang yang menyayangi dan disayangi kerana rasa akan dapat dihalusi wujudnya keikhlasan dalam setiap tindakan yang dilakukannya. Keikhlasan inilah yang akan memberikan rasa sayang berpanjangan dan terus mendoakan kebahagiaan untuk orang yang tersayang.

Cinta..


Percintaan sudah tentu dikaitkan dengan rasa kasih sayang. Menggambarkan bahawa bila menyebut cinta sudah tentu akan ada rasa kasih dan sayang kepada seseorang.  Bila mencintai seseorang, tersiratnya anda mempunyai rasa sayang yang ikhlas dan menerima diri pasangan anda seadanya. Anda hanya memikirkan dirinya, perkongsian hidup bersama dan juga kebahagiaan masa depan bersama.

Cinta terlalu kompleks untuk dihuraikan. Kerana cinta membawa pelbagai istilah yang memberikan maksud yang berbeza.  Dalam satu pepatah arab, mendefinisikan cinta itu pekak dan buta. Rasa cinta yang terlalu mendalam akan memekakkan telinga untuk kita menerima segala nasihat daripada orang lain. Segala keputusan kebanyakannya diputuskan sendiri. Cinta juga akan membutakan mata untuk melihat kelemahan-kelemahan pada diri orang yang dicintai sekalipun nampak jelas di mata orang lain.

Cinta mampu memberikan rasa gembira kepada pasangan, tetapi cinta juga memberikan luka yang sukar untuk diubati. Cinta membahagiakan bila berjaya hidup bersama pasangan dan sangat memedihkan bila gagal. Itulah kelebihan dan kelemahan cinta. Kerana pengertian cinta selalunya disandarkan hanya pada manusia. Manusia tidak sempurna.  Jika pengertian cinta ini disandarkan pada Allah Yang Esa, sudah pasti tidak akan wujud istilah putus cinta.