Akan ku pintal buih-buih
menjadi tali
mengikatmu.
Akan ku anyam gelombang-gelombang
menjadi hamparan
ranjang tidurmu.
Akan ku tenun awan-gemawan
menjadi selendang
menudungi rambutmu.
Akan ku jahit bayu gunung
menjadi baju
pakaian malammu.
Akan ku petik bintang timur
menjadi kerongsang
menyinari dadamu.
Akan ku jolok bulan gerhana
menjadi lampu
menyuluhi rindu.
Akan ku rebahkan matari
menjadi laut malammu
menghirup sakar madumu.
Kekasih,
hitunglah mimpi
yang membunuh realiti
dari syurga ilusi.
Sebagai pelajar major bahasa Melayu...bait-bait sajak ini telah aku jadikan bahan atau contoh untuk teori Hermeneutik yang memerlukan kupasan secara lebih mendalam melalui penelitian daripada pelbagai aspek termasuk latar belakang penulis sajak ini iaitu Usman Awang. Kritikan mengenai kata-kata yang mengandungi makna tersirat ini, didebatkan dengan pelbagai pandangan. Pada pandangan pertama, sajak ini akan dilihat sebagai sajak yang ditujukan kepada kekasih(manusia) tetapi melalui tafsiran dan kritikan secara hermeneutik bait-bait sajak ini dapat dilihat daripada aspek agama dan tanah air.
Melalui kritikan ini juga, dapat dilihat kepintaran dan kedalaman akal fikiran seorang penulis itu mencurahkan isi hati dan rasanya menjadi sebuah sajak yang penuh bermakna untuk para pembaca. penggunaan kata bintang timur jelas menunjukkan bahawa betapa bijaknya penulis memberi analogi kepada pembaca dengan mengaitkan bintang timur dengan hati. Jika tidak ditafsir, maka makna sebenar yang terkandung dalam sajak ini dan nilai yang dibawanya tidak dapat dinikmati dengan sewajarnya.
No comments:
Post a Comment